KUALA LUMPUR: Malaysia amat mengalu-alukan peluang kerjasama antara pemain industri tempatan dengan Korea Expressway Corporation (KEC) dalam usaha memperkukuh prestasi infrastruktur, pembangunan kapasiti serta perkongsian ilmu dalam pengurusan lebuh raya pintar dan teknologi pembinaan digital.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif kerjasama strategik seperti itu diyakini mampu mempercepat pelaksanaan sistem pengangkutan pintar dan bersepadu di Malaysia yang lebih cekap, selamat, dan mampan.
“Saya amat teruja melihat bagaimana KEC memanfaatkan teknologi secara menyeluruh, bukan sahaja dalam meningkatkan kecekapan operasi lebuh raya dan keselamatan pengguna jalan raya, malah turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
“Penggunaan sistem pengurusan trafik bersepadu, analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) dalam meramal kerja penyenggaraan yang diperlukan serta infrastruktur pintar yang digunakan, memberikan banyak inspirasi kepada usaha Malaysia dalam memodenkan sistem lebuh raya negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam catatan di Facebook sempena lawatan kerja ke Korea Selatan bagi menghadiri Forum Asia Pasifik Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2025.
KEC, sebuah agensi lebuh raya Korea Selatan yang bertanggungjawab ke atas pembinaan, operasi dan penyelenggaraan lebih 5,000 kilometer lebuh raya di seluruh negara berkenaan.
Nanta berkata lawatan teknikal itu turut memperkukuh komitmen Malaysia untuk mentransformasikan infrastruktur jalan raya negara sejajar dengan hala tuju dan visi Malaysian ITS Roadmap 2030 yang sedang digariskan oleh Kementerian Kerja Raya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan dan pasukan KEC, terutama Pengarah Urusann Lim Chan Soo atas layanan mesra dan perbincangan yang konstruktif.
“Malaysia berharap hubungan itu akan terus diperkukuh demi membina rangkaian lebuh raya yang lebih selamat, pintar, dan lestari pada masa hadapan,” katanya.