• 2025-10-16 06:47 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru penubuhan Gerakan PKS Satu ASEAN bagi memperkukuh kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana serantau serta memacu pertumbuhan ekonomi inklusif.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan inisiatif itu boleh menjadi pemangkin untuk menghubungkan usahawan, pelabur dan inovator di seluruh ASEAN.

Beliau berkata gerakan ini diharap menjadi nadi ekonomi serantau dan pemangkin memperkasakan rakyat serta memperkukuh daya tahan ASEAN.

ASEAN yang mempunyai pasaran dinamik dengan 680 juta penduduk menawarkan potensi besar kepada lebih 70 juta PKS di seluruh rantau.

Meskipun menjadi tunjang ekonomi ASEAN dengan menyumbang 44.8% kepada KDNK serantau dan 85% kepada jumlah guna tenaga, PKS hanya menyumbang 18% kepada jumlah eksport ASEAN setakat ini.

Platform seperti SME Venture@ASEAN 2025 menjadi laluan kepada usahawan untuk menembusi pasaran ASEAN dan mengintegrasi dalam rantaian nilai global.

Ahmad Zahid menekankan acara ini menandakan kesediaan Malaysia untuk menerajui peranan sebagai negara teras dalam ekosistem perniagaan ASEAN.

Pada peringkat nasional, kerajaan kekal komited untuk mendorong PMKS ke tahap lebih cemerlang melalui Kerangka Ekonomi MADANI dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan peratusan perusahaan bersaiz sederhana daripada 1.6% pada 2024 kepada 5% menjelang 2030.

Satu strategi utama untuk merealisasikan aspirasi ini ialah menggalakkan lebih banyak PKS menembusi pasaran luar bagi memperluas pasaran dan meneroka kerjasama baharu.

Program SME Venture @ ASEAN 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta SME Corporation Malaysia menarik penyertaan daripada 18 negara.

Acara itu bertujuan meningkatkan eksport PKS Malaysia khususnya dalam rantau ASEAN dengan menghimpunkan pihak berkepentingan utama.

Ia juga mempamerkan keupayaan perniagaan, menawarkan peluang padanan perniagaan serta menggalakkan jaringan dan kerjasama perdagangan.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R. Ramanan. – Bernama