Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia telah menerima lima kajian baharu First-in-Human (FIH) menerusi Clinical Research Malaysia (CRM) sekali gus mencatatkan rekod tertinggi FIH yang pernah dicapai, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata prestasi itu membuktikan keupayaan, mutu dan piawai pengendalian kajian klinikal di Malaysia serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penyelidikan klinikal terkemuka di rantau ini.

“Selepas menyoroti prestasi penyelidikan klinikal CRM dan negara, saya perlu tonjolkan bahawa Malaysia telah menerima lima kajian baharu First-in-Human,” katanya selepas merasmikan pejabat CRM di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan CRM hari ini, Dzulkefly yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRM turut memaklumkan bahawa Malaysia telah merekodkan 239 kajian klinikal tajaan dari Januari hingga November 2024, menyumbang lebih RM330 juta kepada Pendapatan Negara Kasar.

Secara kumulatif, sektor itu telah menjana hampir RM1.5 bilion sejak 2012.

Dzulkefly berkata hampir satu per tiga daripada penyelidikan itu adalah dalam bidang kanser dengan tumpuan untuk menyediakan terapi inovatif dan berkualiti tinggi kepada pesakit di Malaysia.

Sementara itu, CRM memaklumkan pembukaan pejabat tapak operasi baharunya di HKL itu memperkukuh rangkaian entiti satelit CRM.

Rangkaian itu kini meliputi pejabat tapak di Hospital Umum Sarawak, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak serta pusat kecemerlangan CRM yang ditubuhkan awal tahun ini.

Pada majlis sama, Dzulkefly turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CRM dengan BeiGene, sebuah syarikat onkologi global yang berteraskan sains.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh ekosistem penyelidikan klinikal negara khususnya dalam memperkasakan pembangunan keupayaan dan memajukan aktiviti kajian klinikal di Malaysia.