PUTRAJAYA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan asing apabila Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Bercakap dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata langkah berkenaan merupakan bukti keyakinan pelaburan asing terhadap prospek ekonomi negara yang kukuh.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan sebelum ini bahawa beberapa pihak termasuk ADIA berhasrat meningkatkan jumlah pelaburan, dan susulan pengumuman itu, kita ada membaca mengenai pengumuman tambahan pelaburan kepada syarikat Malaysia iaitu Yinson (Yinson Holdings Bhd).
“Ini sudah pasti menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelaburan asing termasuk oleh badan seperti ADIA daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Pada 14 Januari, media melaporkan anak syarikat milik penuh tidak langsung Yinson Holdings Bhd, Yinson Production Offshore Holdings Ltd (YPOHL) memperoleh pelaburan berjumlah US$1 bilion (RM4.48 bilion) daripada konsortium firma pelaburan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan selanjutnya.
Yinson berkata pelaburan itu disertai dengan pilihan untuk meningkat kepada US$1.5 bilion dalam tempoh 24 bulan.
Konsortium pelabur itu merangkumi Platinum Lily B 2024 RSC Ltd, anak syarikat milik penuh ADIA, dana yang diuruskan oleh British Columbia Investment Management Corporation (BCI) dan RRJ Group.
ADIA adalah antara dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi US$1 trilion.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Perdana Menteri kini berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi dan dijadualkan bertemu dengan rakan sejawat beliau Keir Starmer.
“Selepas itu beliau akan ke Brussels pada 19 Januari untuk bertemu Perdana Menteri Belgium (Alexander De Croo) dan Presiden Majlis Eropah (Antonio Costa) dan akhir sekali ke Davos bagi Forum Ekonomi Dunia sebelum kembali ke tanah air pada 23 Januari,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan mengenai kepengerusian ASEAN 2025 dengan mesyuarat pemukiman menteri-menteri luar akan diadakan di Langkawi pada 18 dan 19 Januari ini.
Menurutnya ia adalah mesyuarat pertama daripada lebih 300 mesyuarat rasmi yang akan diadakan pada sepanjang tahun.
“Ini adalah mesyuarat pertama yang mana Bernama akan bertugas sebagai penyelaras media rasmi manakala RTM akan menjadi penyiar rasmi sepanjang program kepengerusian ASEAN.
“Ini sudah pasti adalah satu kebanggaan untuk kita dan insya-Allah kita akan menjadi hos yang baik kepada semua delegasi yang akan datang pada sepanjang tahun ini,” katanya.