KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menjadi tuan rumah yang ideal dalam menghubungkan diaspora Cina global dan menjadi jambatan antara Timur dan Barat.

Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (gambar) berkata Malaysia mempunyai hubungan yang sangat lama dan rapat dengan China semenjak hubungan diplomatik terjalin pada 1974.

Beliau menyatakan bahawa kedua-dua negara telah bekerjasama rapat sejak 48 tahun lalu dalam bidang perdagangan, budaya, pendidikan, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut. Dan Malaysia pula adalah rakan dagang kesembilan terbesar China,” kata Rais pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global (GCET) 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata selain perniagaan dan perdagangan, hubungan sesama rakyat di antara Malaysia dan China adalah kukuh, sebagai contoh banyak bandar raya berkembar ditubuhkan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan Xiamen di China.

“Budaya dan bahasa yang dikongsi antara rakyat China dan rakyat Malaysia berbangsa Cina adalah kekuatan utama dalam hubungan ini,” katanya.

Rais juga berkata dalam memajukan hubungan China-Malaysia dan ASEAN-China, GCET boleh mengukuhkan dua diplomasi (atau hubungan bukan kerajaan di antara warganegara atau kumpulan individu), terutamanya dalam membawa masuk pelabur, ahli perniagaan dan badan pemikir secara bersama.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Presiden Institut Strategik KSI Asia Pasifik (KSI) Tan Sri Michael Yeoh berkata kesan daripada pandemik dan tumpuan kepada pemulihan ekonomi, perkongsian, kepimpinan dan kerjasama di peringkat global adalah penting.

“(Oleh itu), GCET (telah) memberi tumpuan kepada empat perkara iaitu keamanan, perkongsian, rakyat dan planet, untuk kemakmuran yang dikongsi secara global,” katanya.

GCET 2022 selama sehari ini merupakan sidang kemuncak dalam talian dan bersemuka yang dianjurkan bersama oleh KSI, Shandong Provincial Federation of Returned Overseas Chinese, Persatuan Perniagaan China-ASEAN, China Development Institute dan Cheng Ho Multiculture Education Trust.

Lebih 250 tokoh terkemuka dalam perniagaan, penggubal dasar, usahawan dan para diplomat menghadiri acara tersebut. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image