• 2025-06-29 06:45 PM
Tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian, tiga maut dibawa pulang

KUALA TERENGGANU: Mayat tiga mangsa yang maut dalam kejadian bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut akan dibawa pulang ke Butterworth dan Sungai Petani untuk upacara pengebumian.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu, Dr K. Balachandran, memaklumkan proses bedah siasat ke atas mayat S. Arumugam, 40, anaknya A. Sarrvihka, 3, dan saudara perempuan V. Vennpani, 10, telah selesai petang tadi.

Beliau berkata, kesemua 15 penumpang dalam bot tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dan sering bercuti ke pulau di Terengganu.

“Mayat dua beranak akan dibawa ke Butterworth manakala seorang lagi ke Sungai Petani.

“Mereka datang bercuti pada Jumaat lalu dan sepatutnya pulang hari ini,“ jelasnya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, kejadian berlaku ketika bot dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Perhentian Besar selepas makan malam.

“Ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik,“ tambahnya. Mangsa yang terselamat dan keluarga masih trauma dengan kejadian tersebut.

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, tiga mangsa maut manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal dan dirawat di ICU HSNZ.