TANGKAK: Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu pasukan yang mantap dan bersatu, menurut Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menegaskan bahawa BN sedang meneroka kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti tempatan di Sabah bagi memastikan persiapan rapi menjelang pilihan raya tersebut.
“Kita tidak boleh bergerak sendirian di Sabah. Kerjasama dengan PH dan parti tempatan penting untuk memastikan kita mempunyai kekuatan yang cukup.
“Pembahagian kerusi masih dalam perbincangan, tetapi matlamat utama adalah membentuk pasukan yang kukuh supaya pengundi yakin dengan kemampuan kita mentadbir,“ jelas Mohamad selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek hari ini.
Sementara itu, di PULAU PINANG, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad mendedahkan bahawa parti itu sedang menjalankan kajian sikap pengundi secara terperinci.
“Kajian ini bertujuan memahami corak pengundian serta maklum balas akar umbi untuk disampaikan kepada pimpinan pusat.
“Kajian sikap ini bukan hanya untuk PRN Sabah, tetapi juga bagi memperkukuh parti secara keseluruhan.
“Kami telah melaksanakannya dan hasilnya akan digunakan untuk strategi pilihan raya,“ ujar Noraini selepas merasmikan mesyuarat sayap UMNO Bahagian Kepala Batas di Kubang Menerung.
Dewan Undangan Negeri Sabah dijangka dibubarkan secara automatik pada 11 November ini, membuka laluan untuk PRN Sabah Ke-17.