ABU DHABI: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang meneroka kemungkinan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Malaysia (NADMA) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Krisis dan Bencana Kecemasan Kebangsaan (NCEMA) UAE.
NCEMA ialah pihak berkuasa terkemuka UAE di bawah Majlis Tertinggi bagi Keselamatan Negara dengan kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentas sektor.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengalaman UAE dalam menangani cabaran bencana yang kompleks menawarkan pandangan yang tidak ternilai ketika kerajaan berusaha untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi bencana.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia, mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE. Melalui langkah strategi yang tepat, kita dapat meningkatkan ketahanan untuk melindungi masyarakat dan infrastruktur dengan lebih baik.
“Hari ini saya mempelajari tentang pengurusan bencana, dan yang paling penting adalah bagaimana sistem yang dilaksanakan itu (oleh UAE) menggunakan teknologi terbaharu,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat NCEMA di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata terdapat persamaan antara kedua-dua negara, dengan Malaysia mempunyai jawatankuasa di peringkat nasional, negeri serta daerah bagi pengurusan bencana, yang merupakan struktur hampir sama dengan negara UAE.
“Yang paling penting adalah bagaimana koordinasi dan tindakan-tindakan segera itu dilakukan. Apa yang dapat kita pelajari, dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberikan analisis berhubung sesuatu krisis,” katanya.
Rabu, Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohamed Al Mazrouei, sempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari bermula semalam ke negara Teluk itu, yang memfokuskan kepada pelbagai kerjasama, khususnya dalam pengurusan bencana.
Ahmad Zahid berkata NADMA telah mengemukakan beberapa cadangan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan bencana Malaysia, termasuk melalui Pemerhatian Bumi (EO) menggunakan imejan satelit bagi mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut dan keadaan persekitaran, memberikan amaran awal tentang potensi bencana.
NADMA turut mencadangkan Sistem Platform Altitud Tinggi (HAPS), yang menggunakan dron dan belon altitud tinggi untuk menangkap data masa nyata resolusi tinggi untuk meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas.
Agensi itu juga mencadangkan supaya teknologi AI dimanfaatkan untuk menjangka kejadian bencana berdasarkan data sejarah, yang membolehkan amaran awal, meramal jenis bencana dan perancangan logistik, di samping penyediaan Kenderaan Khas Respons Bencana, mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk lebih berkesan dan tindak balas yang pantas.
“Kerjasama ini akan mengukuhkan usaha bersama kita dalam memberikan bantuan bencana kepada negara jiran, termasuk Indonesia dan Filipina. Baru-baru ini pun kita mengerahkan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia bersama 16 anak kapal untuk menyokong Filipina selepas Ribut Tropika Trami,” katanya.
Ahmad Zahid berkata selain itu Malaysia turut mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Filipina dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei untuk mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko bencana serantau.
Timbalan Perdana Menteri berkata selain pengurusan bencana, mesyuarat itu turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan mengembangkan potensi perdagangan halal.
“Kita juga berbincang mengenai inisiatif memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan meneroka kerjasama dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.
“Kerjasama berpotensi tinggi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-UAE, meningkatkan perkongsian ke tahap baharu dan meletakkan asas kukuh untuk perkongsian pertumbuhan dan pembangunan mampan,” tambahnya.