• 2025-08-12 03:07 PM

PUTRAJAYA: Memastikan keamanan di Myanmar dan menangani krisis pelarian merupakan antara keutamaan Malaysia, khususnya dalam menyokong Bangladesh yang menanggung beban menempatkan sejumlah besar pelarian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan kemanusiaan segera perlu disalurkan kepada pelarian dan mangsa bencana alam seperti gempa bumi.

Beliau turut menekankan usaha menyelesaikan krisis di Myanmar kekal menjadi agenda utama dalam kerjasama serantau.

“Saya memuji pihak berkuasa Bangladesh yang mengambil inisiatif di pelbagai forum pelbagai hala di New York, Qatar dan di Malaysia.

“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan menyelaras satu pasukan bersama Indonesia, Filipina dan Thailand untuk melawat Myanmar dalam beberapa minggu akan datang bagi memastikan keamanan dapat dicapai dan penindasan terhadap sebahagian etnik minoriti serta rakyat Myanmar dapat diselesaikan secara aman,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasmi tiga hari Ketua Penasihat Bangladesh Prof. Dr. Muhammad Yunus ke Malaysia dari 11 hingga 13 Ogos.

Minggu lepas, Mohamad berkata beliau akan mengetuai delegasi ASEAN ke Myanmar pada 19 Sept bagi menilai situasi terkini di negara itu.

Beliau berkata, delegasi tersebut yang turut disertai rakan sejawatnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia akan meneliti keadaan di bawah pentadbiran baharu susulan pembubaran kerajaan junta serta berakhirnya darurat.

Sementara itu, Anwar menyifatkan Muhammad Yunus sebagai sahabat baik Malaysia yang telah mencatat kemajuan luar biasa dalam memastikan keamanan dan keselamatan Bangladesh sepanjang tempoh peralihan.

Beliau turut menekankan hubungan dua hala yang diperkukuh dalam bidang perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pendidikan.

Menurut beliau, Muhammad Yunus merupakan tokoh yang dikenali di Malaysia, khususnya melalui usaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin menerusi inisiatif mikro kredit.

Tokoh ekonomi, usahawan sosial dan penerima Hadiah Nobel Keamanan itu terkenal sebagai perintis mikro kredit dan mikro kewangan yang menyediakan pinjaman kecil kepada individu miskin tanpa memerlukan cagaran.

Perdana Menteri berkata Malaysia menganggap Bangladesh sebagai rakan penting, sambil mengiktiraf sumbangan besar pekerja Bangladesh terhadap pembangunan negara.

“Oleh itu, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan Kemasukan Visa Berganda bagi membantu pekerja supaya mereka dapat pulang melawat keluarga dengan rasa selamat terhadap pekerjaan mereka,“ katanya.

Anwar berkata, Malaysia turut memberi keutamaan kepada langkah membantu pekerja Bangladesh yang terkandas.

Kerjasama dalam sektor tenaga melalui Petronas, telekomunikasi melalui Axiata Group Bhd, serta penerokaan bidang baharu dalam industri halal, penyelidikan STEM, dan semikonduktor turut diperkukuh.

Terdahulu, Muhammad Yunus diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion (USD2.92 bilion).

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama di Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia.

Import dari Bangladesh terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan pembuatan. - Bernama