• 2025-07-25 03:00 PM

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan 15 motosikal di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini telah meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian empat orang. Mangsa terbaru itu ialah seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang disahkan meninggal dunia pada 12.30 pagi tadi semasa dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din mengesahkan kematian itu berpunca daripada kecederaan otak traumatik. “Ya, mangsa telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJS,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Tiga penunggang motosikal sebelum ini dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah. Seramai 12 penunggang lain cedera dalam kejadian itu, dengan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di ICU.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kumpulan penunggang motosikal itu sedang berkonvoi. Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut - Bernama