KUALA LUMPUR: Mangsa dan waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik pada 9 Jun lalu diminta menghubungi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyelaras tuntutan insurans.
Menurut kenyataan APAD, individu yang terlibat boleh berhubung dengan pegawai agensi berkenaan Ameera Mohd Ali menerusi talian 03-2603 6763 atau e-mel [ameera@apad.gov.my](mailto:ameera@apad.gov.my) untuk maklumat lanjut.
Mereka juga boleh mendapatkan bantuan di pejabat APAD berhampiran.
Berdasarkan rekod agensi tersebut, seramai 37 waris mangsa berasal dari Terengganu, empat dari Kelantan, manakala masing-masing seorang dari Kuala Lumpur dan Johor.
“Bagi memudahkan proses pengesahan maklumat, APAD turut bekerjasama dengan pihak UPSI untuk menghubungi semua mangsa dan waris yang terlibat,“ menurut kenyataan itu.
APAD turut menyatakan komitmennya dalam memastikan kebajikan mangsa dan waris diberi perhatian sewajarnya melalui proses tuntutan insurans yang adil.
Dalam kejadian awal pagi itu, 15 pelajar UPSI maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbabit dalam kemalangan di JRTB, Gerik.
Tragedi itu turut mengakibatkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).