KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang bersiap untuk melancarkan tiga varieti durian baharu dalam tempoh dua tahun akan datang. Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata pihaknya kini dalam fasa penilaian bagi memastikan klon durian baharu sesuai ditanam di pelbagai lokasi.
“Kita perlu melihat kesesuaian (penanaman) dengan tempat lain kerana selain di MARDI Kuala Kangsar, kita ada sebahagian (penanaman durian) di MARDI Jerangau (Terengganu) yang kita cuba ketengahkan untuk varieti baharu nanti,“ katanya selepas program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media.
Mohamad Zabawi turut menyatakan bahawa durian hibrid MRDI Super 88 (MS88) akan diberikan nama baharu yang lebih menarik bagi menarik minat peminat durian. “Kita cuba tukar nama durian MS88 yang nampak komersial, sekarang ini macam-macam ada seperti Tupai King yang sebenarnya itu adalah varieti lama,“ jelasnya.
Sehingga kini, sebanyak 13,000 pokok durian varieti MS88 telah ditanam di seluruh negara di bawah pemantauan MARDI. “Setakat ini, ada pokok sudah berusia antara dua dan tiga tahun. Jadi, dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, ia boleh dipasarkan secara meluas,“ tambahnya. - Bernama