KANGAR: Masa tindak balas (response time) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis terhadap insiden kecemasan menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila purata masa itu mencatatkan pengurangan pada dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata JBPM Perlis berjaya mengurangkan masa tindak balas kepada 10 minit 31 saat pada tempoh itu berbanding 11 minit 12 saat bagi jangka waktu sama tahun lepas.
“JBPM Perlis komited mempercepatkan masa tindak balas terhadap insiden kecemasan menerusi pelaksanaan persempadanan semula kawasan jagaan. Usaha memperbaiki penugasan balai bomba dan sempadan kawasan jagaan mula menunjukkan hasil positif apabila purata masa ini semakin menurun,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 JBPM Perlis di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM Perlis Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin.
Nor Hisham berkata lima balai bomba beroperasi di Perlis dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar mencatatkan jumlah operasi tertinggi pada 2024 iaitu 347 kes diikuti BBP Padang Besar dan BBP Arau dengan masing-masing 254 kes.
Sementara itu beliau berkata tiga jentera baharu iaitu Compact Fire Rescue Tender akan ditempatkan di Perlis secara berperingkat iaitu pada April, Julai dan awal tahun depan dalam usaha mengatasi cabaran berkaitan masa tindak balas terutama di jalan kecil, laluan kampung berliku dan kawasan bendang.
“Jentera lebih ringan dan kecil, tetapi mampu membawa air membolehkan pergerakan ke lokasi kejadian dipercepatkan sekali gus dapat mengurangkan masa tindak balas serta jumlah kerugian,“ katanya.