KUALA LUMPUR: Mayat lelaki yang ditemukan di tapak pembinaan di Bangsar semalam disahkan sebagai warga United Kingdom (UK) yang dilapor hilang sejak 27 Mei lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mangsa dikenali sebagai Jordan Johnson-Doyle dan pengecaman dilakukan oleh bapa saudaranya yang mengenal pasti tatu di badan mangsa.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan dada disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

“Tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Jordan, 25, yang sedang mengembara solo ke Asia Tenggara, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Bangsar di sini pada 27 Mei lepas.

Kehilangannya disedari ahli keluarga yang gagal menghubunginya selain aktiviti media sosialnya tidak lagi aktif.

Semalam, polis menemukan mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan tertiarap dengan sebahagian pakaian hampir terlucut di ruang lif tingkat bawah tapak pembinaan berkenaan.