BUKIT MERTAJAM: Mayat dua wanita yang sudah berbau busuk ditemukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan daripada penduduk sekitar kawasan itu pada kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

“Polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati kereta jenis Honda WRV itu berkunci dan kami mendapatkan bantuan pihak bomba untuk membukanya, sebelum mendapati terdapat mayat dua wanita di bahagian tempat duduk hadapan kenderaan.

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua wanita itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau busuk dan kembung,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua wanita yang dipercayai warga tempatan itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat, dan setakat ini polis mengklasifikasikan ia siasatan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan,“ katanya.