KOTA BHARU: Seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) mental ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah berkunci di Kampung Nara, Pasir Puteh hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridhuan Mohd Nor berkata mayat Wan Silmi Wan Jusoh, 55, ditemukan pada 1.49 tengah hari.
“Bomba menerima panggilan pada 1.23 tengah hari memaklumkan terdapat seorang individu tidak sedarkan diri di dalam rumah.
“Apabila tiba di lokasi, didapati rumah berkenaan berkunci dan pasukan bomba kemudian berjaya membuka pintu rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Wan Silmi didapati meninggal dunia di tempat tidurnya.
“Keadaannya (tidak sedarkan diri) disedari kakaknya yang biasanya menghantar makanan kepadanya pada sebelah petang, namun sehingga pagi tadi makanan itu tidak diambil,” katanya.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.