KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan kaki dan tangan terikat serta kepala dibalut kain ditemui berhampiran landasan kereta api di Sungai Serian, Kalumpang, Hulu Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata mayat itu dijumpai orang awam kira-kira jam 10.30 pagi sebelum laporan dibuat.
Berdasarkan siasatan awal, mayat dipercayai dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian yang mempunyai ketinggian 11.15 meter.
“Siasatan forensik mendapati kaki dan tangan si mati telah diikat manakala kepala dibalut dengan kain serta dilekatkan dengan pita pelekat hitam dan putih,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan fizikal menunjukkan mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dari empat hari kerana keadaan mayat mula reput.
Tiada dokumen peribadi ditemukan berhampiran mayat.
Mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-6064 1222. – Bernama