ALOR GAJAH: Seorang pengurus kilang yang dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai ketika hendak membuang air di Sungai Pengkalan di sini semalam, ditemukan maut kira-kira pukul 2.25 petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata mayat Mokthar Othman, 61, ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir arwah dilihat semalam.

“Pasukan bomba kemudian membawa mayat berkenaan ke pos kawalan untuk diserahkan kepada polis,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai berkenaan.