TANGKAK: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semalam ditemui lemas di Sungai Muar pagi ini. Mangsa berusia 62 tahun itu dijumpai kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian di Jambatan Panchor-Gersik.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib mengesahkan mayat itu ditemui dalam keadaan sempurna dan telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat. “Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan,“ katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan awal, lelaki itu dilaporkan hilang selepas kenderaannya ditemui berhampiran jambatan tersebut. Dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai selepas keluar dari rumahnya di Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu pada jam 6 pagi semalam- Bernama