SEGAMAT: Kehilangan wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak lima hari lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di kawasan rumpun pokok pisang di Kampung Permatang Panjang, Jementah, di sini pada 10.15 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat DSP Ng Swie Chait berkata mayat mangsa, Zaiton Hamzah, 60, ditemui kira-kira 300 meter dari kediamannya dengan keadaan lengkap berpakaian.

Beliau berkata warga emas itu dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemukan dan tiada kesan gigitan binatang buas atau calar dikesan pada mayat mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan proses bedah siasat akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat,” katanya ketika dihubungi hari ini ini.

Pada Rabu lepas, mangsa yang merupakan OKU masalah mental dilaporkan keluar rumah kira-kira 4.30 petang seperti kebiasaannya untuk bersiar-siar di halaman rumah, namun ahli keluarga mendapati dia tidak pulang selepas itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat PBK II Ibrahim Zakariah@Zakaria berkata ketika dalam operasi dan menyelamat mangsa hilang, pihaknya dimaklumkan penemuan mangsa oleh orang ramai.

Beliau berkata terdahulu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Segamat bersama polis dan penduduk kampung bertindak melakukan pencarian selama empat hari di sekeliling kampung termasuk di permukaan sungai di belakang rumah mangsa.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di belakang rumah jiran dengan anggaran jarak 400 meter dari kediamannya dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba, empat anggota polis dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ini ditamatkan pada 12.18 tengah hari,” katanya.