PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius gesaan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC menegaskan bahawa penyebaran gambar, video atau sebarang maklumat yang belum disahkan bukan sahaja boleh mengguris perasaan ahli keluarga, malah bercanggah dengan nilai etika serta berpotensi melanggar undang-undang sedia ada.
“MCMC turut mengulangi peringatan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil agar semua pihak menghormati siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, penyebaran maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai- BERNAMA