KUALA LUMPUR: Membangunkan satu penyelesaian kaedah kawal selia untuk memerangi berita palsu dilihat mencabar kerana peraturan sedemikan mestilah secara efektif menangani kesan buruk maklumat salah namun pada masa menghormati kebebasan bersuara.

Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata menangani isu maklumat salah dan salah maklumat, termasuk pelesenan penyedia media sosial, memerlukan pendekatan seimbang yang mengambil kira kepentingan masyarakat dan individu.

“Sebarang percubaan kerajaan untuk menguruskan berita palsu akan dilihat sebagai cubaan menyekat kebebasan bersuara. Tetapi ini tidak semestinya benar kerana ada kemudaratan yang boleh menjejaskan negara, masyarakat dan juga individu. Jadi bagaimana kita mencari keseimbangan?

“Kita perlu mempunyai cara pemikiran yang berbeza jika mahu mencapai keseimbangan. Contohnya, sebarang hasrat kerajaan untuk meningkatkan kepentingan rakyat daripada kemiskinan atau apa-apa inisiatif mungkin tertangguh kerana berita palsu atau ketidakpercayaan,“ katanya pada Persidangan Perundangan Antarabangsa Berhubung Ancaman Dalam Talian 2024, yang membincangkan mengenai ekosistem dalam talian Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sesi itu menjelaskan mengenai ekosistem dalam talian Malaysia serta mengenal pasti keadaan maklumat salah dan salah maklumat termasuk palsu asli (deepfake) dan kandungan berbahaya yang lain, selain membincangkan amalan terbaik untuk kerjasama undang-undang antarabangsa bagi memerangi penyebaran kandungan tersebut.

Sebelum ini, MCMC mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Zulkarnain berkata keputusan kerajaan untuk mewajibkan pelesenan bagi penyedia media sosial, berkuat kuasa 1 Januari 2025, ialah langkah proaktif bertujuan menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna dan menurutnya peraturan itu juga merupakan campur tangan undang-undang yang amat penting untuk memelihara keharmonian negara

“Apa yang perlu kita lakukan apabila membincangkan peraturan dan pelesenan ialah memastikan kawalan...kita perlu menyesuaikan diri jika model perniagaan telah beralih kepada ekonomi platform,“ katanya.

Beliau berkata langkah pelesenan itu tidak akan menghalang kebebasan bersuara tetapi akan menangani pelbagai bahaya berkaitan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi palsu asli.

Zulkarnain berkata penggunaan media sosial yang semakin meningkat setiap tahun menunjukkan terdapatnya keperluan untuk suatu etika memahami penggunaannya bagi melahirkan warga digital yang bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, yang turut berucap pada sesi itu, menyuarakan kebimbangan mengenai trend penipuan melibatkan teknologi palsu asli iaitu sindiket meniru suara kenalan mangsa.

Beliau juga mengetengahkan bahawa kira-kira 454 kes penipuan melibatkan teknologi palsu asli telah dilaporkan tahun ini, mengakibatkan jumlah kerugian RM2.272 juta.

Persidangan dua hari itu, yang bermula hari ini, dianjurkan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Kementerian Komunikasi dan MCMC dengan kerjasama UNICEF Malaysia, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).