SHAH ALAM: Pengamal media diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui siasatan polis berhubung mana-mana kes yang dalam proses siasatan.

Ini termasuklah kes penemuan mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat pelbagai spekulasi dikeluarkan mengenai kes tersebut sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Pihak polis menasihatkan kepada semua pengamal media dan orang ramai (agar) tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan mana-mana kes yang masih lagi dalam siasatan serta tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan kes,“ katanya.

Hussein berkata perbuatan sedemikian boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perkongsian atau menyebarkan maklumat palsu, jelik dan mengancam.

Mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah, katanya.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, pada Isnin, selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.