Your Title

IPOH: Seorang mekanik hari ini tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan dengan kejam memukul seekor anjing menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan, bulan lepas.

Hew Kan Wai, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull kacukan secara kejam dengan sebatang tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan, di hadapan sebuah rumah di Taman Ria di sini, kira-kira 8 malam 18 Jan.

Pertuduhan mengikut Subsekyen 29(1)a Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama, yang memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Kathan Maruthamuthu yang mewakili Hew pula memohon wang jaminan dikurangkan, atas alasan pendapatan tertuduh hanya RM2,000 sebulan, selain isterinya tidak bekerja dan menanggung dua anak kandung serta empat anak saudara yang kesemuanya masih bersekolah, termasuk seorang belajar di tadika.

Hakim Jean Sharmila Jesudason kemudiannya menetapkan wang jaminan RM2,500 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap awal bulan sehingga kes selesai, selain menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Pada 20 Jan, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan seorang mekanik ditahan kerana disyaki memukul seekor anjing peliharaannya menggunakan tukul besi di sebuah taman perumahan di Taman Ria.

Abang Zainal Abidin berkata suspek dipercayai bertindak demikian akibat marah digigit haiwan peliharaannya itu.

Sebelum ini, tular video berdurasi 43 saat di laman sosial Facebook Malaysian Dogs Deserve Better memaparkan seorang lelaki memukul seekor anjing dengan sebatang tukul besi dan video berkenaan dirakam seorang individu dipercayai tinggal berhampiran kawasan kejadian.