MELAKA: Melaka memohon menyegerakan pembinaan loji memproses sisi pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini memandangkan pemberian tender pembinaan kepada syarikat pelaksana sudah dibuat sejak lebih dua tahun lepas.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata pembinaan loji WTE atau insinerator berkenaan menjadi keperluan mendesak dalam usaha membantu memanjangkan hayat tapak pelupusan itu yang dijangka penuh pada Mac 2026.

Beliau berkata pembinaan loji WTE itu juga membantu pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan baik di negeri berkenaan pada masa hadapan selain memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Pembinaan loji WTE ini juga telah diumumkan sekali lagi dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan kerajaan negeri serta rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih Melaka.

“Tender pembinaan WTE di Melaka dibuka lebih dua tahun lepas dan saya difahamkan telah diberikan kepada syarikat terlibat..cuma kita masih menunggu pelaksanaannya,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) @ Taman Bandaraya Bukit Serindit yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata secara purata sebanyak 1,300 tan sampah sehari termasuk 30 hingga 40 peratus sisa pepejal sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) dihantar ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman KPKT bahawa kerajaan dalam perancangan untuk membina 18 loji WTE di Semenanjung menjelang 2040 pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Loji WTE akan dibina di Kedah (Jabi dan Padang Cina), Johor (Bukit Payung, Seelong, Sedili), Pahang (Jabor – Jerangau, Belenggu), Melaka (Sungai Udang), Kuala Lumpur (Rawang), Selangor (Jeram, Tanjung 12, Rawang 2), Pulau Pinang (Pulau Burung), Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok).

Terdahulu, Rais berkata pengoperasian DTRC menjadi antara indikator ke arah mencapai matlamat MBMB sebagai bandar raya rendah karbon menjelang tahun hadapan.

Pelaksanaan DTRC itu juga dapat memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti tentang kepentingan kitar semula dalam pemeliharaan alam sekitar sekali gus membantu inisiatif pengasingan sisa bermula di kediaman masing-masing dan menjana pendapatan tambahan daripada aktiviti kitar semula.

Pusat DTRC yang mampu menampung sehingga dua tan barangan kitar semula sehari itu beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Open Two Websites with Image

Clickable Image