MELAKA: Kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka akan melakukan pemantauan secara terus di kawasan dikenal pasti mempunyai liputan rendah ketika Program Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia bagi menyelesaikan masalah telekomunikasi yang dihadapi berdasarkan laporan serta aduan dibuat penduduk.

“Ia seperti aduan yang diterima berkaitan kesukaran liputan rangkaian telefon dan capaian internet untuk berhubung seperti dialami oleh pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek, justeru kita singgah ke lokasi untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Satu menara telekomunikasi akan dibangunkan di KPM Ayer Molek setinggi 45 meter dan dijangka beroperasi November ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah pelajar di kawasan itu dan penduduk sekitar,“ katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut mengikuti Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular Siri Kedua di sekitar Melaka Tengah dan dihadiri Pengarah MCMC Melaka Syed Isa Alsagoff serta turut melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, Unifi Mobile (TM), YES (YTL) dan U Mobile.

Fairul Nizam berkata pada siri itu, ujian dilakukan di laluan utama antara daerah Melaka Tengah dan Jasin serta kawasan yang dikenal pasti mempunyai liputan rendah dan taburan penempatan yang ketara.

Beliau berkata sepanjang ujian berkenaan yang meliputi jarak 70 kilometer membabitkan laluan Bukit Katil, Ayer Molek, Sungai Rambai, Merlimau, Telok Mas dan Duyong, sejumlah lima panggilan terputus direkodkan.

“Pihak penyedia perkhidmatan yang berkaitan telah diminta untuk mengambil tindakan segera dan seterusnya melaporkan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan kepada MCMC,“ katanya.