GEORGE TOWN: Rinda Food Industries hari ini menjelaskan bahawa syarikat itu tidak pernah menggunakan atau membenarkan penggunaan sebarang bentuk dadah dalam produk keluaran mereka.

Pengurus Besar syarikat itu Steven Teh berkata pihaknya difahamkan ada laporan berita di New Zealand baru-baru ini mengenai produknya disalah guna, berhubung dengan penggunaan bahan terlarang, iaitu methamphetamine .

“Kami sedar mengenai seriusnya situasi ini dan faham kebimbangan yang timbul. Kami percaya pihak berkuasa New Zealand sedang menjalankan siasatan berhubung isu ini.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan untuk menangani isu ini dan melindungi integriti jenama kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven berkata keutamaan mereka adalah keselamatan dan kebajikan pengguna, di samping memastikan produk mereka mematuhi standard keselamatan dan kawal selia yang tinggi.

Beliau turut menggesa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu untuk menghubungi pihak berkuasa berkaitan.

Media asing baru-baru ini melaporkan satu badan kebajikan yang membantu gelandangan di Auckland secara tidak sengaja mengedarkan gula-gula mengandungi methampetamine dalam dos yang tinggi dan boleh membawa maut, dalam bungkusan yang disumbangkan oleh orang awam.

Auckland City Mission berkata petugasnya telah mula menghubungi sehingga 400 individu untuk menjejaki bungkusan itu yang mungkin dilihat bagaikan gula-gula nanas, namun sebenarnya adalah methamphetamine yang dibalut seumpama gula-gula.

Menurut pihak berkuasa New Zealand, tiga orang dirawat di hospital selepas memakan gula-gula berkenaan.

Rinda Food Industries Sdn Bhd yang beroperasi di Bukit Mertajam di sini telah terlibat dalam pembuatan gula-gula, jeli dan puding sejak 1982.