MELAKA: Kerajaan Melaka memperkenalkan lebih 800 inisiatif bagi meraikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan berlangsung pada September ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu dirangka bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan, aksesibiliti serta penglibatan budaya.
“Menjelang sambutan WTD 2025, kita berbangga untuk melancarkan lebih banyak program istimewa termasuk pakej penginapan promosi eksklusif, tiket masuk berharga RM10 ke lokasi tarikan utama terpilih serta menu makan tengah hari dan malam berharga RM10 di restoran yang mengambil bahagian.
“Antara inisiatif lain termasuk promosi golf premium di empat lapangan golf terkemuka di Melaka, menghidupkan semula permainan tradisional seperti dam aji dan konda kondi khusus untuk pelancong muda dan berkeluarga, serta menambah dua lagi bot Melaka River Cruise bagi meningkatkan pengalaman pelancongan sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Hari WTD 2025, WTC 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO di Banda Hilir malam ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad serta duta dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia.
Ab Rauf berkata antara acara kemuncak sambutan itu adalah Sesi Perjumpaan Global yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dengan kerjasama Tourism Malaysia.
“Kami menjangkakan kehadiran lebih 3,000 delegasi dari 159 negara serta 500 ahli sektor swasta Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), termasuk pemimpin pelancongan global, pembuat dasar dan media antarabangsa.
“Sehubungan itu, kami menyokong penuh inisiatif Kementerian Pelancongan untuk mempelawa semua negeri di Malaysia mempamerkan keunikan pelancongan masing-masing di MITC. Jadikanlah ini satu pentas kebangsaan yang mempamerkan perpaduan, kepelbagaian dan kemakmuran bersama melalui pelancongan,” katanya.