• 2025-09-12 09:47 AM

MELAKA: Penganjuran Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di Melaka berjaya mengukuhkan kerjasama keselamatan serantau dan mempromosikan negeri sebagai destinasi pelancongan selamat.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan kejayaan acara berprestij itu mencerminkan kepercayaan negara-negara ASEAN terhadap keupayaan Melaka menjadi lokasi penganjuran antarabangsa yang selamat.

Beliau berkata keyakinan itu disokong rekod indeks jenayah yang rendah termasuk kes ragut dan samun serta sifar jenayah di kawasan tumpuan pelancongan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024.

“Faktor ini menjadi nilai tambah unik kepada kehadiran pelancong terutama ketika Melaka sedang giat membuat persiapan sempena Hari Pelancongan Dunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia,“ katanya selepas Majlis Makan Malam Gala sempena AMMTC ke-19.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata delegasi AMMTC ke-19 berpeluang mengalami keunikan Melaka menerusi program santai di luar dewan persidangan.

“Semalam, saya ambil peluang promosikan Melaka dengan membawa 350 orang delegasi menyusuri Sungai Melaka menaiki bot untuk melihat sejarah dan keindahan bandar warisan ini,“ katanya.

Beliau menyatakan maklum balas yang diterima sangat positif dengan beberapa delegasi menyatakan minat untuk datang lagi ke Melaka.

Melaka menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri dan pegawai kanan ASEAN berhimpun dari 8 hingga 12 September bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Program itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan komitmen Malaysia membina komuniti ASEAN lebih selamat. – Bernama