• 2025-07-15 09:23 PM

PUTRAJAYA: Perjuangan menentang rasuah bukan semata-mata kewajiban moral tetapi merupakan pemacu kepada pembangunan ekonomi yang mantap, inklusif dan mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di sini hari ini, Perdana Menteri menekankan bahawa rasuah dalam semua bentuknya merupakan ancaman secara langsung kepada kemajuan ekonomi dan keharmonian negara.

“Ia meningkatkan kos menjalankan perniagaan, menjejaskan persaingan adil, menyekat inovasi dan menghalang pelaburan domestik dan asing.

“Rasuah membawa keluar dana awam daripada sektor penting seperti infrastruktur kritikal, pendidikan berkualiti dan kemudahan akses kesihatan,” katanya.

Anwar berkata rasuah mewujudkan medan permainan yang tidak sekata, merugikan perniagaan beretika dan menghalang pengagihan manfaat ekonomi yang saksama.

Tambahan pula, ia sering membawa kepada keputusan tidak tepat yang mengeksploitasi sumber negara tanpa mengambil kira generasi akan datang, katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri berkata memerangi rasuah merupakan tanggungjawab bersama, menuntut keberanian, integriti dan penyertaan aktif setiap segmen masyarakat.

“Saya pernah beranggapan, sekurang-kurangnya semasa saya berada di kedudukan anda (rakyat) , ia adalah satu tugas yang mudah (untuk memerangi rasuah), kini saya sedar ia adalah satu tugas yang sukar, mencabar dan menggerunkan.

“Tidak semestinya disukai, terutamanya apabila anda mula menyiasat hartawan besar dan pemimpin politik yang sangat kaya. Tetapi kita mesti terus bertekad kerana tindakan itu mesti melibatkan setiap segmen masyarakat dengan berani untuk berdiri bersama, untuk mempertahankan ketelusan, kesaksamaan dan keadilan,“ katanya.

Anwar berkata kerajaan sedang menangani rasuah secara bersemuka, berpandukan prinsip kelestarian, kepedulian, belas kasihan, rasa hormat, inovasi, kemakmuran dan amanah.

“Kita mempunyai satu suruhanjaya pencegahan rasuah yang sangat berkesan yang bertekad untuk bertindak tegas dan memberi mesej jelas bahawa tiada toleransi terhadap rasuah di negara ini.

“Walaupun ini adalah impian saya, saya ingin memastikan negara ini, dalam masa beberapa tahun, boleh muncul sebagai antara ekonomi yang pesat membangun paling dinamik yang jelas kukuh, komited dan bebas daripada rasuah.

“Janji untuk menamatkan rasuah adalah mutlak, untuk mengembalikan integriti kepada institusi, melindungi kepentingan awam dan membina semula kepercayaan orang ramai,” katanya.

Anwar menekankan bahawa usaha memerangi rasuah menjadi lebih penting apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan tumpuan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di seluruh rantau ini di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

“Kami percaya bahawa komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memerangi rasuah akan meningkatkan daya saing negara dan serantau, memupuk persekitaran perniagaan yang dinamik, dan memastikan pertumbuhan ekonomi inklusif yang menjangkau semua segmen masyarakat terutamanya belia, minoriti dan masyarakat terpinggir,“ katanya.

Anwar memetik kemajuan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sebagai penanda aras utama, menegaskan semula sasaran Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan untuk disenaraikan dalam kalangan 25 negara paling rendah rasuah di dunia menjelang 2033.