KUALA LUMPUR: Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, Menteri Besar dan Ketua Menteri mengambil kesempatan merafak sembah serta merakamkan ucapan tahniah dan doa menerusi platform media sosial masing-masing.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim.

“Sembah takzim daripada patik dan seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong kekal qarar memerintah rakyat di negara ini dengan adil dan saksama.

“Patik serta seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak mendoakan semoga (Seri Paduka) Baginda Tuanku dan Permaisuri (Raja Zarith Sofiah) serta seluruh kerabat diraja, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili kerajaan Negeri Sembilan, mendoakan semoga Allah SWT terus melimpahkan keberkatan, kurnia kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Seri Paduka Baginda dalam memayungi rakyat dan negara.

Turut merafak sembah dan tahniah, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dianugerahkan kekuatan dan keberkatan, untuk terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh Kerajaan Negeri Sabah mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan seisi keluarga sentiasa dilimpahi keberkatan dan dikurniakan keafiatan yang berterusan.

Ucapan merafak sembah dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong turut dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan keafiatan dan kebijaksanaan kepada Tuanku dalam memayungi negara dan rakyat. Daulat Tuanku,” kata Muhammad Sanusi.