KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Tun Daim Zainuddin bukan sahaja mendapat reaksi pemimpin di peringkat Persekutuan, malah pemimpin-pemimpin negeri yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas khabar duka tersebut.
Antara mereka yang mengucapkan takziah ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menerusi hantaran di laman Facebook masing-masing, kesemua mereka mendoakan agar roh Allahyarham, yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001, ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Kewangan itu ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
“Salam takziah kita ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Tun Daim,“ katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi hantaran Facebook juga menitipkan doa agar roh Allahyarham Daim dilimpahkan rahmat Allah SWT serta kurnia daripada-Nya.
Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada 8.21 pagi ini Hospital Assunta, Petaling Jaya, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.