KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta beberapa jemaah menteri menerusi media sosial masing-masing, mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu yang meraikannya hari ini.
Fahmi menerusi catatan di Facebook berharap agar Thaipusam kali ini memberi lebih banyak makna serta membawa sinar baharu dalam kehidupan semua.
“Selamat Hari Thaipusam buat seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pula menyifatkan Thaipusam sebuah perayaan perpaduan, apabila keluarga rakan-rakan serta komuniti berkumpul dalam keharmonian.
“Inilah semangat kebersamaan yang menjadikan Malaysia begitu istimewa dan saya berharap perayaan ini mengeratkan lagi ikatan kasih sayang dan persefahaman antara kita semua. Selamat menyambut Thaipusam yang penuh kegembiraan, kesihatan yang baik dan kemakmuran. Semoga cahaya kebijaksanaan dan keberkatan sentiasa membimbing perjalanan anda!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula mengajak masyarakat terus memperkukuh perpaduan dan menghormati kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada keharmonian negara.
“Selamat menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Semoga sambutan ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kekuatan dalam kehidupan kita,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula menyeru masyarakat agar terus mengeratkan silaturahim melalui sikap toleransi dan menghormati kepelbagaian kaum dan kepercayaan agama di negara ini.
“Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut Hindu di Malaysia. Semoga sambutan perayaan ini membawa kegembiraan dan kebahagiaan khusus kepada yang meraikannya. Ayuh, kita terus mengeratkan silaturahim melalui sikap toleransi dan menghormati kepelbagaian kaum dan kepercayaan agama di negara ini. Malaysia kekal Aman, Makmur dan Sejahtera,” katanya.