• 2025-09-26 03:53 PM

SHAH ALAM: Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk tidak lagi mengulas atau mengeluarkan kenyataan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Syamsul Haris Shamsudin sehingga siasatan kes itu selesai.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas pemohon menerima surat aku janji daripada pihak responden susulan notis usul yang difailkan ibu Allahyarham iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Peguam Naran Singh, yang mewakili Ummu Haiman, berkata pihaknya menerima salinan surat berkenaan pagi ini daripada Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek, yang mewakili responden.

“Kami mohon agar perenggan ketiga direkodkan iaitu Menteri Pertahanan dan MINDEF memberi satu aku janji bahawa tiada kenyataan lanjut berhubung siasatan kes ini akan dikeluarkan melalui mana-mana media sehingga ia selesai.

“Dengan itu, kami juga menarik balik larangan sementara yang dikeluarkan mahkamah pada 18 Sept lepas kerana surat aku janji sudah diterima,” katanya pada prosiding hari ini.

Hakim Adlin Abdul Majid kemudian merekodkan surat bertarikh 24 Sept itu yang dikeluarkan MINDEF dan mengesahkan penerimaannya oleh mahkamah.

Ummu Haiman memohon agar responden tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan siasatan termasuk laporan bedah siasat kedua mengenai kematian anaknya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata dapatan jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi mendapati tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Syamsul Haris.

Kubur Allahyarham digali semula pada 29 Ogos bagi bedah siasat kedua selepas perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam dikeluarkan pada 26 Ogos.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih. – Bernama