• 2025-06-25 09:17 AM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini memutuskan penubuhan Majlis Penasihat terdiri daripada pelbagai pakar.

Antara keputusan penting lain termasuklah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diberi mandat sebagai peneraju Hab Benih Negara. Usaha membangunkan keturunan tulen ayam pedaging dan penelur tempatan serta pengkomersialan baka Ayam Saga turut diluluskan.

Mohamad Sabu berkata, Malaysia masih bergantung hampir sepenuhnya kepada benih import, termasuk 90 peratus benih sayur dan benih tembikai bernilai RM2.7 juta. “Ini satu cabaran besar yang mesti kita tangani bersama demi masa depan keterjaminan makanan negara,“ katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau menekankan agenda keterjaminan benih bukan sahaja penting untuk industri agromakanan, malah menjadi teras kepada kedaulatan dan keselamatan negara. “Kita perlu hasilkan benih tempatan yang berkualiti, tahan lasak dan mampu memenuhi keperluan rakyat.”

Pelaksanaan Agenda Keterjaminan Benih Negara diharap dapat membantu Malaysia mencapai kemandirian dalam sektor benih tempatan. “Ini bukan soal pertanian semata-mata, ini soal kedaulatan dan masa depan negara,“ tegasnya.