PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengulangi komitmen untuk proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab kepada peristiwa tragik terhempasnya pesawat Malaysia Airlines MH17.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini sempena ulang tahun ke-10 tragedi itu, kerajaan bertekad bahawa proses tersebut mestilah bermatlamatkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti, selain komited untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mangsa.

“Susulan tragedi ini, satu negara bersedih dan bertekad. Kita berikrar untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa dan menuntut mereka yang bertanggungjawab ke atas perbuatan tidak masuk akal ini dibawa ke muka pengadilan,“ kata MOT.

MOT juga sekali lagi merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa peristiwa itu.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Pada 17 November 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada dua bekas ejen perisikan Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy, serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan pembunuhan kesemua 298 penumpang

Seorang lagi rakyat Rusia Oleg Pulatov dibebaskan daripada pertuduhan sama.