IPOH: Pemain Jepun, Minoru Koga merangkul kejuaraan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 selepas menewaskan rakan senegaranya, Takuma Kawamoto dalam pertarungan tiga set pada aksi final di Arena Badminton Perak di sini, hari ini.
Minoru menang set pertama 21-17, namun tumpas pada set kedua 10-21 sebelum bangkit dalam set terakhir untuk menafikan pemain pilihan ke-10 kejohanan itu, 21-11 dalam pertarungan selama 60 minit.
Bagi kategori beregu campuran, pasangan negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun sebagai pilihan kelima kejohanan dinobat juara apabila mudah menewaskan beregu dari Taiwan, Lin Yu Chieh-Hsu Yin Hui.
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dilihat tidak mengahadapi masalah sebelum menoktahkan kemenangan straight set 21-17, 21-19 dalam tempoh 36 minit.
Dalam acara beregu wanita, pemain negara, Ng Qi Xuan yang bergandingan bersama Yap Yee, gagal menyerlah apabila tewas kepada lawan mereka daripada Taiwan, Lin Chih Chun-Sung Yu Hsuan dengan straight set 11-21; 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 38 minit.
Sementara itu, hasrat perseorangan profesional wanita negara, Wong Ling Ching untuk melakar kejuaraan tidak kesampaian selepas tunduk straight set kepada wakil Jepun, Miho Kayama 21-23, 16-21.
Gelaran juara beregu lelaki menjadi milik pasangan dari Jepun, Takuto Inoue-Masayuki Onodera dalam pertarungan yang berlangsung selama satu jam dua minit dalam tiga set.
Pemain dari negara Matahari Terbit itu, bagaimanapun, terpaksa menghadapi tentangan sengit beregu negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean sebelum menang 21-16, 18-21, 21-14.
Kejohanan ini tajaan Petronas itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM100,000.
Juara setiap kategori membawa pulang wang tunai RM9, 337 dan tempat kedua pula RM5,602 manakala pemain layak ke suku akhir dan separuh akhir akan menerima wang tunai masing-masing RM933 dan RM2,334. –Bernama