• 2025-07-31 10:03 AM

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan tiga program di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dengan peruntukan keseluruhan RM21.25 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, berkata antara program tersebut ialah Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta bernilai RM10.514 juta yang akan memberi manfaat kepada 4,700 kanak-kanak India.

“Selain itu, peruntukan RM10 juta disalurkan untuk Program Bantuan Subsidi Dialisis yang akan membantu 2,000 pesakit buah pinggang India mendapatkan rawatan berkala,“ katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Program ketiga ialah Kajian Impak Pelaksanaan PPSMI 2021-2023 dengan peruntukan RM736,952.50 untuk menilai keberkesanan program terdahulu sebagai asas penambahbaikan dasar.

Ramanan menjawab soalan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai perkembangan penyaluran peruntukan MITRA. MITRA telah menerima 1,332 permohonan antara Disember 2024 dan Januari 2025.

“Bagi Program Bantuan Subsidi Pendidikan dan Dialisis, permohonan dibuka pada 26 Jun 2025, dan penyaluran geran akan dilakukan secara berperingkat kepada pemohon yang layak,“ jelasnya.

Sementara itu, penyaluran geran untuk kajian impak akan dilaksanakan selepas pemeteraian perjanjian dengan Universiti Malaya tidak lama lagi - BERNAMA