ROTORUA: Kejayaan komuniti Maori di New Zealand membangunkan perkampungan mereka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjadi inspirasi kepada Malaysia untuk memajukan kawasan Orang Asli.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melawat perkampungan tradisional Maori di Rotorua berkata pendekatan inklusif mereka boleh dicontohi.
“Insya-Allah, akan wujud satu kawasan di Melaka yang didedikasikan sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa untuk komuniti Orang Asli,“ katanya selepas menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin perniagaan Maori.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan beliau telah mendapat persetujuan exco Melaka untuk merealisasikan projek ini.
Beliau menegaskan pendekatan kerajaan MADANI memastikan tiada komuniti terpinggir dalam arus pembangunan.
“Walaupun JAKOA mengurus Orang Asli sebagai kumpulan minoriti, kerajaan MADANI tetap memberi perhatian dan keutamaan kepada mereka,“ katanya.
Selain melawat perkampungan budaya Whakarewarewa Living Maori Village, delegasi Malaysia juga meninjau Onuku Farm untuk mempelajari amalan terbaik pertanian dan penternakan yang boleh diaplikasikan di Malaysia. - Bernama