Your Title

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Digital untuk menangguhkan serta menyelaras semula segala perolehan berkaitan digital yang belum dianugerahkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini bagi memastikan semua perolehan yang dirancang, selaras dengan aspirasi pendigitalan kerajaan dan teknologi digital semasa agar tiada pertindihan inisiatif, projek serta pembaziran sumber berlaku.

“Kerajaan juga punyai tekad keras untuk meningkatkan keluasan capaian Internet bagi membuka ruang kepada semua lapisan rakyat, memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian mereka khususnya dalam sektor ekonomi digital, sosial dan pendidikan.

“Justeru untuk permulaan, saya telah mengarahkan semua kementerian terkait, agar memastikan fasiliti Internet tersedia di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekolah rendah, menengah dan mana-mana institut di bawah seliaan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu Perdana Menteri berkata mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikannya petang tadi, turut bersetuju dengan Pelan Pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN), di samping memberi keutamaan kepada pelaksanaan 50 inisiatif yang lebih berfokus kepada landskap digital semasa.

“Pelaksanaan pelan ini penting bagi merealisasikan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.5 peratus pada 2025, selain memastikan Malaysia terus dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Kerajaan Malaysia komited untuk menempatkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau dan memanfaatkan kemajuan teknologi terkini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.