KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 3 Jun lepas.

PERNAS dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mohamed Rozhan diyakini memperkukuh hala tuju strategik agensi itu dalam menyokong pembangunan keusahawanan negara, khususnya dalam sektor francais serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Beliau merupakan seorang tokoh korporat serta usahawan berpengalaman dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam sektor perbankan, pelaburan, keusahawanan dan tanggungjawab sosial,” menurut kenyataan itu.

Mohamed Rozhan yang berkelulusan pascasiswazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Ohio, Amerika Syarikat memulakan kerjayanya di Citibank N.A. pada 1985 dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Naib Presiden serta Ketua Bahagian Sektor Awam sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau kemudian menyertai Bank Simpanan Nasional Merchant Bank sebagai Pengurus Besar yang juga Ketua Operasi Kredit, Perbankan dan Perbendaharaan dari 1995 hingga 2000.

Menurut kenyataan itu, dengan pengalaman lebih 24 tahun sebagai usahawan, Mohamed Rozhan menceburi pelbagai sektor termasuk industri kesihatan dan kesejahteraan, makanan, perlindungan dokumen keselamatan tinggi serta pembuatan dan pembungkusan label serta tag.

“Beliau juga aktif dalam memberi khidmat nasihat berkenaan perundingan perniagaan yang merangkumi sektor pengangkutan, telekomunikasi, teknologi maklumat dan digital, minyak dan gas serta hartanah,” katanya.

Mohamed Rozhan kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan OVD Systems (M) Sdn Bhd, selain aktif dalam modal teroka bagi syarikat-syarikat baharu, dan turut menyumbang khidmat bakti sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ansar Al-Hadith.

“Komitmennya terhadap tanggungjawab sosial juga terserlah melalui peranannya sebagai bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Victoria Institution,” menurut PERNAS.