SHAH ALAM: Timbalan Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan memangku jawatan Ketua Polis Selangor berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bermula 21 Julai.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Hussein dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PDRM atas kepercayaan dan sokongan sepanjang dua tahun lima bulan beliau menjawat jawatan Ketua Polis Selangor.
“Banyak kejayaan dicapai dalam tempoh tersebut, termasuk menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus tahun lepas,“ katanya.
Beliau turut menyatakan kejayaan menggagalkan pelbagai cubaan penyeludupan dadah berskala besar dengan rampasan mencecah ratusan juta ringgit.
Hussein berkata dalam tempoh 2023 dan 2024, polis Selangor merampas lebih 10 tan dadah bernilai RM300 juta, sekali gus menghalang dadah itu sampai kepada lebih 21 juta pengguna.
“Kontinjen Selangor turut menahan 22,000 suspek pada 2023 dan meningkat kepada 40,000 orang tahun berikutnya,“ jelasnya.
Beliau juga menyatakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuka kertas siasatan melibatkan 7,115 kes pada 2023 dengan kerugian RM510 juta dan 7,731 kes pada 2024 melibatkan kerugian RM680 juta.
Dalam aspek penguatkuasaan, polis trafik mengeluarkan 1.06 juta saman sepanjang 2023 dengan kutipan RM135.7 juta dan 1.13 juta saman tahun lepas dengan kutipan berjumlah RM128 juta.
“Semua kejayaan ini cerminan dedikasi setiap pegawai serta anggota termasuk petugas awam yang bekerja secara berpasukan,“ ujarnya.
Majlis turut menyaksikan penyerahan tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Selangor oleh Liliyana Haryanti Mohd Harunizam kepada pemangkunya Zurim Md Khalid. - Bernama