• 2025-06-21 06:19 PM

ISTANBUL: Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan bahawa Moscow menentang pengembangan senjata pemusnah besar-besaran termasuk sebarang potensi perolehan senjata itu oleh Iran, menurut temu bual yang disiarkan pada Sabtu.

Dalam wawancara bersama Sky News Arabia, Putin menyatakan bahawa Rusia menyokong hak Iran untuk membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan aman, sambil menekankan bahawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak menemukan sebarang bukti bahawa Tehran bercadang membina senjata nuklear, lapor Anadolu Ajansi.

“Fatwa di Iran yang mengharamkan senjata nuklear sangat penting,” katanya, sambil menyifatkan keputusan agama itu sebagai elemen utama dalam pendirian Iran.

Putin turut menyatakan kesediaan Rusia untuk membantu Iran dalam pembangunan program nuklear awamnya.

Ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, yang membawa kepada serangan balas dari pihak Tehran.

Menurut laporan media Iran, seramai 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 cedera dalam serangan itu.