PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menyemak sekurang-kurangnya enam undang-undang berkaitan maritim bagi memperkasakan industri maritim negara agar lebih berdaya saing dan seiring dengan keperluan semasa.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata satu jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan telah ditubuhkan untuk meneliti dan membuat cadangan pindaan yang akan dibawa ke Parlimen dalam tempoh setahun.
“Sebaik sahaja jawatankuasa itu bersedia, kita akan teruskan semakan secara berperingkat mengikut undang-undang bermula dengan Ordinan Perkapalan Saudagar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini hari ini.
Enam undang-undang terlibat ialah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah), Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak), Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955, Akta Lembaga Pelabuhan 1963 dan Akta (Penswastaan) Pelabuhan 1990.
Loke berkata kerajaan tidak berhasrat mengambil alih kuasa maritim Sabah dan Sarawak, sebaliknya mahu mengharmonikan perundangan agar selaras dengan di Semenanjung tanpa menjejaskan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MOT juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Admiralti di Parlimen tahun ini bagi mewujudkan mahkamah khas maritim untuk menangani pertikaian berkaitan perkapalan.
“Sekarang kita hanya ada Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes maritim. Dengan rang undang-undang ini, kita mahu sistem kehakiman lebih lengkap untuk isu maritim,” katanya.