KUCHING: Dua sepupu maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Pelabuhan, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata kedua-dua lelaki berumur 18 dan 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang datang dari arah Jalan Pending menuju ke Jalan Bako merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Muhamad Amirul Azami Ahmad Rasol di talian 016-8593994 atau 082-259900 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,“ katanya.