• 2025-06-19 08:18 PM

BANGI: Pelancaran formulasi baja MPOB F6 dan biskut berkhasiat yang diperkaya dengan minyak sawit merah oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ke arah mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri sawit negara.

Formulasi baja itu mengandungi nutrien utama seperti nitrogen, fosforus, kalium dan magnesium yang dirumus khas bagi mengekalkan kesuburan tanah dalam jangka masa panjang, selari dengan prinsip kelestarian berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Manakala biskut berasaskan minyak sawit merah yang turut dilancarkan padat dengan karotenoid provitamin A dan fitonutrien semula jadi, menjadikannya sesuai sebagai makanan tambahan yang menyumbang kepada keseimbangan nutrisi dan pencegahan kekurangan vitamin A.

Johari berkata dua produk terbaharu itu adalah antara lebih 240 teknologi dan inovasi yang telah dihasilkan serta dikomersialkan oleh MPOB, dengan keseluruhan usaha tersebut berjaya menjana nilai pasaran melebihi RM5.9 bilion setakat ini.

Beliau turut berkata bahawa pemindahan teknologi seperti ini berupaya meningkatkan kecekapan operasi dan nilai tambah dalam rantaian industri sawit negara.

Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025 yang berlangsung hari ini turut menyaksikan pengenalan pelbagai inovasi lain, antaranya pelantar komuniti MPOB-Eg50 untuk kajian genetik sawit, sistem pengurusan perosak bersepadu Ganoderma, serta teknologi pengesanan buah sawit masak menerusi sistem I.M.B.A.S.

MPOB juga menampilkan produk inovatif berasaskan sawit seperti minyak hidraulik gred makanan, produk mandian, emulsi pembersih semula jadi untuk medan minyak, minuman emulsi NutrEcare, sapuan coklat, gula-gula, mayonis vegan dan formulasi makanan ayam.

Turut berlangsung ialah pertukaran tiga memorandum perjanjian antara MPOB dan rakan strategik bagi pelesenan dan pengkomersialan teknologi melibatkan formulasi pelet makanan lembu, penggunaan mikroorganisma Endophytic Streptomyces spp. Endo88 sebagai kawalan penyakit Ganoderma dan lipstik berasaskan sawit.

Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, setiap projek penyelidikan yang dijalankan perlu melalui penilaian menyeluruh berdasarkan kajian kebolehlaksanaan sebelum diteliti oleh Jawatankuasa Penasihat Program yang terdiri daripada pakar industri, akademik dan pihak berkepentingan tempatan serta antarabangsa.

Katanya, MPOB terus komited untuk memperluas aplikasi minyak sawit, biojisim dan produk keluarannya melalui kerjasama strategik dan perkhidmatan konsultasi yang ditawarkan kepada pemain industri tempatan, sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran global.