DUNGUN: Sebuah kenderaan pelbagai guna milik Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli terbakar di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 menghala ke Kuala Terengganu.
Wan Hassan bersama isteri terselamat tanpa kecederaan setelah berjaya keluar dari kenderaan jenis Toyota Vellfire itu ketika dalam perjalanan pulang ke Dungun dari Kuantan.
Kenderaan berkenaan musnah hampir 95% dengan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.47 tengah hari.
Sebuah jentera bomba bersama sepuluh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dikerah ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba berjaya dikawal pada pukul 1.17 tengah hari. – Bernama