• 2025-08-23 09:19 AM

TANJONG MALIM: Program Multaqa’ Mahkamah Syariah (MUM’S 2025) berfungsi sebagai platform utama untuk menyatukan warga perundangan dan kehakiman syariah seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyatakan bahawa temasya sukan dwitahunan ini merupakan usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan pegawai perundangan serta kehakiman syariah.

Beliau menekankan bahawa program ini juga bertujuan meningkatkan amalan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kerjasama berpasukan.

“Semangat kesukanan yang dizahirkan melalui MUM’S 2025 bukan sekadar menguji kekuatan fizikal tetapi turut menjadi simbol komitmen seluruh warga kehakiman dalam memelihara integriti,“ katanya.

Zulkifli menambah bahawa ia turut berperanan meningkatkan profesionalisme dan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Impak positif program ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan warga kehakiman syariah malah turut menyumbang kepada pembinaan imej positif perkhidmatan perundangan dan kehakiman syariah di mata masyarakat,“ ujarnya.

Lebih 1,400 warga kehakiman syariah dari seluruh negara yang mewakili 15 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menyertai MUM’S 2025.

Program yang berlangsung dari 20 Ogos lepas hingga esok di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dianjurkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSPk).

Sebelum ini, MUM’S telah dianjurkan di lima universiti utama iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pada 2010, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (2013), Universiti Sains Malaysia (USM) (2015), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2017) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (2023). – Bernama