• 2025-07-21 09:26 PM

PUTRAJAYA: Sistem MyVISA 2.0, platform visa digital bersepadu untuk pengurusan visa warga asing, akan mula beroperasi pada 1 Ogos ini. Sistem ini dilancarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah sempena sambutan Hari Imigresen ke-103 bertemakan ‘AI menerajui reformasi Imigresen’.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata MyVISA 2.0 menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan proses permohonan visa. “Pemohon tidak perlu lagi ke pejabat untuk memohon visa,” katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan bahawa MyVISA 2.0 merupakan penambahbaikan daripada sistem sebelumnya yang diperkenalkan pada 1 Disember 2021. “Sistem ini dibangunkan semula sebagai platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat, dan efisien,” menurut JIM dalam kenyataan.

MyVISA 2.0 memperkenalkan teknologi terkini seperti pengecaman aksara optik (OCR), notifikasi masa nyata, automasi pintar, dan aplikasi mudah alih khusus untuk pemohon. Sistem ini membolehkan permohonan visa dilakukan sepenuhnya secara digital, termasuk imbasan pasport, pemuatan dokumen, temu duga maya, penjejakan masa nyata, dan kelulusan eVisa dengan kod QR.

“Pemohon tidak perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara,” jelas JIM. - Bernama