MELAKA: Sebanyak 49 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berkhidmat dalam industri teknologi tinggi sejak Program Veteran MyWIRA dilancarkan pada Januari tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pencapaian ini membuktikan veteran ATM bukan sahaja mampu membina kerjaya baharu malah memperoleh pendapatan lebih baik selepas menamatkan perkhidmatan.

“Mereka kini bekerja dalam industri elektrik dan elektronik di Pulau Pinang dengan gaji permulaan RM2,900.

“Jadi program ini dapat memastikan kelangsungan hidup yang lebih selesa memandangkan apabila tamat perkhidmatan, sebahagian besarnya menjadi golongan B40 kerana hilang separuh daripada pendapatan selepas pencen,“ katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus anggota veteran ATM mempunyai kerjaya kedua selepas mereka tamat perkhidmatan kelak menerusi pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan institusi pengajian tinggi.

“Selain program memperkasakan veteran dalam bidang usahawan dan memastikan industri pertahanan melibatkan 30 peratus veteran ATM, kita juga memulakan kempen kerjaya kedua melalui Work Based Learning (WBL), iaitu kerjaya dan kepakaran mereka sebelum ini mendapat pengiktirafan dari segi akedemik.

“Untuk ini, kita bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara dari segi penganugerahan di peringkat sijil atau diploma supaya sijil itu boleh digunakan bagi mendapat kerjaya kedua dan pengalaman mereka diiktiraf,“ katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, sebanyak 1,000 veteran ATM termasuk balu dan waris Veteran ATM Melaka dan Negeri Sembilan menerima PJM, yang juga kurniaan atas keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.

Sebanyak 48, 346 warga veteran ATM yang memenuhi syarat telah menerima PJM setakat Mac lepas, sejak dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada Mac 2004.